Pesta KAGAPE 2025: Menuai Berkat, Menyulam Persaudaraan
- Nicholas Wong
- Jun 20
- 1 min read
KAGAPE, singkatan kepada Kaamatan, Gawai dan Panen merupakan pesta menuai yang diraikan oleh pelbagai suku kaum dari Sabah, Sarawak dan Indonesia. Ia melambangkan kesyukuran kepada Tuhan atas hasil tuaian yang melimpah serta memperkukuh nilai spiritual, budaya dan kekeluargaan.
Pada 15 Jun 2025, Gereja St. Francis of Assisi sekali lagi menganjurkan sambutan tahunan KAGAPE dalam suasana penuh kesyukuran, kasih dan perpaduan komuniti. Bertemakan "Berakar Dalam Iman, Menuai Kasih Tuhan", sambutan tahun ini mengajak umat untuk kembali kepada asas iman,berakar dalam sabda dan kasih Tuhan, serta membuahkan kasih, pengampunan dan persaudaraan dalam kehidupan seharian.
Dianggarkan seramai 500 umat bersama keluarga telah hadir memeriahkan acara ini yang menampilkan pelbagai kaum dalam pakaian tradisional masing-masing. Acara utama majlis tahunan ini adalah upacara simbolik menuai dan minum ucap selamat sebagai lambang keberkatan dan kesatuan umat. Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, nyanyian serta pertandingan peragaan pakaian traditional dan karoake.
Antara tetamu terhormat yang hadir adalah Rev. Fr. Paul Cheong OFM Cap selaku paderi paroki, Fr. Gilbert James OFM Cap selaku Custos Capuchin Malaysia, beberapa orang paderi serta brother dari komuniti Capuchin Malaysia serta beberapa ahli Majlis Pastoral Paroki (PPC) yang diketuai oleh pengerusinya, En. Danny Nesam.
Dalam ucapannya, Fr. Paul melahirkan rasa bangga dan terharu melihat kesatuan serta usaha gigih umat, terutamanya komuniti KUBM dari Sabah, Sarawak dan Indonesia. Beliau menekankan bahawa KAGAPE bukan sekadar satu perayaan budaya, tetapi lambang syukur atas rahmat Tuhan, dan jambatan yang menghubungkan budaya dengan kasih Kristus.
Sambutan ini telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat kesatuan, meninggalkan kenangan manis serta memperteguh hubungan antara sesama umat sebagai satu keluarga besar paroki.